HomeBeritaBayi masih bertali pusat ditemui di Bandar Sunway

Bayi masih bertali pusat ditemui di Bandar Sunway

SUBANG JAYA: Seorang bayi lelaki ditemukan di dalam bungkusan plastik di tepi jalan di Bandar Sunway, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bayi berkenaan dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dan masih bertali pusat berserta uri oleh orang awam pada jam 1.25 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati, bayi berkenaan baru sahaja dilahirkan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis membawa bayi berkenaan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan kini berada di wad Unit Rawatan Intensif Neonatal hospital itu untuk pemantauan rapi.

Wan Azlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil memberi kerjasama dengan menghubungi 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyana Zakaria di talian 019-3559880.

Menurutnya, tiada sebarang televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi penemuan bayi itu untuk mengenal pasti suspek terlibat.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Author

Pilihan Editor