CYBERJAYA: Isham Abdul Jalil mendakwa bahawa, segelintir ahli politik di negara ini yang memiliki sebarang jawatan seolah-olah sukar untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Menurut Ali Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, ahli politik berkenaan dilihat seboleh-bolehnya mahu memegang jawatan tersebut sampai bila-bila.
Disebabkan itu, katanya, reformasi atau perubahan politik di negara ini berjalan dengan perlahan.
“Jadi, individu yang pegang jawatan tu kalau boleh nak pegang sampai bila-bila dan tiada perubahan kepimpinan dalam tempoh yang lama.
“Oleh itu, reform and progress sukar dilaksanakan. Bila timbul masalah ini, reformasi politik atau sebarang idea baharu mungkin lambat atau sukar diketengahkan,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebook.
Justeru, Isham mencadangkan agar sesebuah parti politik mewujudkan pelan bagi mengetengahkan pelapis pemimpin baharu.
Apatah lagi, menurutnya, kini terdapat kempen Undi18 yang melayakkan golongan muda berusia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya.
Oleh itu, katanya, golongan muda boleh tampil dengan idea-idea baharu bagi pembangunan sesebuah parti politik.
“Kita bukan sahaja nak tarik undi mereka, tapi kita juga perlu galakkan mereka beri pandangan dan idea dalam parti kita. Oleh itu, barulah kita boleh bawa banyak perubahan dalam parti.
“Ini juga akan menarik minat orang ramai pada parti kita dan parti-parti politik di Malaysia.
“Mereka boleh memberi sumbangan dari segi reform and progress dalam politik Malaysia. Kalau tidak, balik-balik orang (pemimpin) sama, dan kita tak ke mana,” jelasnya.
Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Jumaat, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun depan.
Namun, Muhyiddin pada Sabtu membuat pusingan U, apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.