PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini dalam tempoh berehat sebelum kembali bertugas selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu sepertimana yang dinasihatkan oleh doktor.
Justeru, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan serta menempatkan kita semua dalam rahmat dan kasihNya,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau juga melampirkan gambarnya yang sedang tersenyum.
Ahmad Zahid sebelum ini dilapor menjalani satu prosedur pembedahan pada 16 November lepas. – Utusan