HomeHiburanAiman Tino tak selesa peminat menggedik

Aiman Tino tak selesa peminat menggedik

PUTRAJAYA: Penyanyi Aiman Tino mengakui masih terdapat peminat yang cuba bermesra dengannya meskipun dia kini berstatus suami orang.

Menurut Aiman, 25, yang biasa melayan peminat dengan mesra sebelum berkahwin, sikap segelintir peminat terhadapnya masih tidak berubah.

“Masih ada peminat yang cuba mendekati atau menggedik, contoh macam cuba pegang tangan walaupun isteri saya ada di sebelah.

“Adakalanya saya sendiri sampai rasa tidak selesa. Jika ada peminat yang cuba terlalu rapat, isteri saya akan menegurlah tetapi sebagai penyanyi saya akan cuba melayan peminat sebaik mungkin,” ujar Aiman.

Sungguhpun isterinya bersikap profesional di depan khalayak, namun sebagai suami Aiman sedar dia perlu meletakkan batas antaranya dengan peminat.

“Sebelum ini mungkin saya suka bersikap mesra dengan peminat, sekarang saya meletakkan batas dan lebih berjaga-jaga.

“Orang pun hormat sebab sebelah saya ada isteri. Sendirilah ingat sudah jadi suami dan ada isteri tidak boleh seperti dulu lagi,” kongsi Aiman yang ditemui pada pelancaran restoran Ngam Ngam Neighbourhood di IOI City Mall 2 Putrajaya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Aiman yang sudah enam bulan mendirikan rumah tangga dengan Syarah Haifa, mengakui kehidupan berumah tangga cukup mencabar.

“Kami masih difasa mengenali dan perlu banyak bertolak ansur serta mengalah dengan isteri. Pernah juga saya di luar (ruang tamu) dan isteri di dalam bilik sebab dia tengah marah.

“Saya tunggu dia sejuk dahulu barulah pujuk. Sebelum ini pernah nampak ibubapa sahaja begitu, sekarang saya rasa sendiri,” kata Aiman ketawa.

Ditebak soal cahaya mata, Aiman dan isteri menyerahkan kepada takdir dan tidak tergesa-gesa untuk mengembangkan keluarga mereka.

“Saya serahkan pada takdir, jika dapat cepat kami terima. Kami merancang untuk ada tiga atau empat anak sahaja.

“Walaupun keluarga saya besar dengan 11 adik-beradik, tetapi saya tidak mahu anak yang begitu ramai. Sekarang bukan mudah untuk besarkan anak dengan ekonomi yang cukup mencabar,” luah Aiman lagi. — Kosmo

Authors

Pilihan Editor