KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) secara tegas dan tanpa prejudis meminta pihak Aman Palestin bersikap lebih profesional serta memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan pertubuhan itu tanpa gangguan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW percaya SPRM bertindak berdasarkan data dan fakta.
Menurutnya, MCW memandang serius terhadap telahan wujud konspirasi dalam isu siasatan itu.
“Pada pemerhatian kami, tindakan mencabar proses siasatan dalam kes ini, seolah-olah wujud agenda lain yang tersembunyi atau ada perkara yang tidak mahu didedahkan.
“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki pembekuan akaun bank itu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan langkah biasa dalam siasatan rasuah.
“SPRM juga sudah bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah, justifikasi tindakan pembekuan 41 aset Aman Palestin Berhad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak Aman Palestin yang mendakwa mereka adalah NGO yang sudah 18 tahun memperjuangkan hak kemanusiaan sewajar lebih matang dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini.
“Biarkan SPRM teruskan siasatan ini dengan tegas dan adil. Jangan mencabar atau menggugat keadilan.
Beliau berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama kepada siasatan SPRM tanpa tekanan, tegas dan adil.
Semalam, peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali dilaporkan berkata, pertubuhan itu memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.
Katanya, jika SPRM gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, hari ini bertegas agensi itu bertindak mengikut undang-undang dan sedia mendedahkan justifikasi pembekuan akaun Aman Palestin kepada mahkamah. – Berita Harian