HomeBeritaAniaya amah Indonesia, Imigresen minta KBRI kemuka aduan spesifik

Aniaya amah Indonesia, Imigresen minta KBRI kemuka aduan spesifik

CYBERJAYA: Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) diminta mengemukakan aduan secara spesifik berkaitan penderaan, penganiayaan serta manipulasi pembantu rumah negara itu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata,  pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi susulan kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono berhubung isu penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia di negara ini seperti dilaporkan baru-baru ini.

Ahad lalu, Hermono dilapor berkata, kira-kira 90 peratus aduan diterima pejabat KBRI berkaitan pembantu rumah menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan, dan memerlukan penyelesaian segera serta menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat.

Ruslin berkata, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian pembantu rumah Indonesia.

Katanya, majikan akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan akan disenarai hitam daripada menggajikan PRA.

“Jumlah pembantu rumah Indonesia di negara ini ialah seramai 57,916 manakala yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) seramai 447,094 orang, sehingga 16 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen memandang serius mengenai isu itu, serta menyatakan komitmen untuk tidak berkompromi kepada mana-mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.

Katanya, jabatan itu juga sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.

Selain itu, katanya, kebajikan dan perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia adalah antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia.

Author

Pilihan Editor