HomeGlobalAS rancang pindah bom bernilai RM149 juta kepada Israel

AS rancang pindah bom bernilai RM149 juta kepada Israel

AMERIKA Syarikat (AS) merancang pemindahan bom bernilai AS320 juta (RM149 juta) kepada negara haram Israel, ketika serangan berterusan di Genting Gaza yang dikepung.

Perkara itu didedahkan sumber yang biasa terlibat dengan rancangan tersebut kepada The Wall Street Journal pada Isnin.

Laporan The Wall Street Journal mendedahkan, kerajaan AS diterajui Joe Biden memaklumkan mengenai pemindahan rancangan Spice Family Gliding Bomb Assemblies itu kepada pemimpin kongres pada 31 Oktober lalu.

Spice Family Gliding Bomb Assemblies membentuk sejenis senjata berpandukan ketepatan khas, yang dilancarkan pesawat perang.

Laporan itu menambah, pengeluar senjata Rafael USA akan memindahkan bom itu kepada syarikat induk Israel Rafael Advanced Defence Systems, untuk kegunaan rejim pengganas Israel.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengumumkan bahawa jumlah mangsa korban akibat pengeboman Israel mencecah 10,022 orang, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita.

Sementara itu, jumlah individu yang cedera sejak 31 hari lalu meningkat kepada 25,408 orang.

AS merupakan sekutu terbesar dan paling lama menyokong Israel telah membekalkan beribu-ribu kiriman senjata kepada rejim Zionis sejak permulaan perang.

Khamis lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan pakej bantuan ketenteraan bernilai AS14.3 bilion (RM66.6 bilion) kepada Israel.

Washington yang menyokong serangan ganas Tel Aviv ke atas Gaza memberi alasan bahawa ia kononnya sebagai cara untuk mempertahankan diri.

Malah, Washington turut mengeluarkan kuasa vetonya kepada resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang menggesa rejim Zionis menghentikan kekejamannya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor