CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahlian Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman selama enam tahun.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan terhadap Ahli Parlimen Labuan itu berkuatkuasa pada Selasa.
Menurut Hamzah, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang telah bersidang Selasa.
Beliau memaklumkan, Suhaili yang juga Ketua Bahagian Bersatu Labuan dan Wilayah Persekutuan telah didapati bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media daripada YB Datuk Indera Dr Suhaili bertarikh 30 Oktober, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin sebulat suara menggunakan kuasa di bawah Fasal 22.5 (c) Perlembagaan Bersatu bagi menggantung keahlian YB Datuk Indera Suhaili berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang beliau untuk tempoh enam tahun berkuatkuasa dari tarikh keputusan dan hukuman iaitu 7 November 2023,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
30 Oktober lalu, Suhaili mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid untuk mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Labuan itu dalam kenyataan menjelaskan, langkah itu diambil setelah mempertimbangkan dengan teliti dan secara terperinci tentang rintihan rakyat Labuan yang berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Bagaimanapun, Suhaili yang juga Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan menegaskan untuk terus kekal setia dengan parti tersebut.
Bersatu sebelum ini membuat keputusan menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain selama empat tahun berkuatkuasa 3 November lalu.
Pada Selasa, Bersatu ‘kehilangan’ seorang lagi wakil rakyat selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim turut mengambil tindakan serupa dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Mohd Azizi menyatakan keputusan itu bertujuan memastikan kebajikan penduduk Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat, termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dipohon untuk dilaksanakan di kawasan tersebut.
Mohd Azizi yang bertanding atas tiket PAS dalam Pilihan Raya Umum lalu mencatat sejarah apabila menang di Parlimen Gua Musang dengan memperoleh majoriti 163 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini menyandang Parlimen berkenaan selama 11 penggal.