GAZA CITY: Ketua Pengarah Hospital al- Shifa di Gaza City, yang terbesar di wilayah Palestin dilaporkan ditangkap kelmarin oleh tentera Israel selepas mendakwa kemudahan itu digunakan oleh pejuang Hamas.
Pengarah hospital, Dr.Mohammad Abu Salmiya sering dipetik kenyataan oleh media antarabangsa mengenai keadaan di dalam hospital tersebut yang menjadi tumpuan utama serangan darat Israel berikutan serangan kumpulan pHamas pada 7 Oktober lalu.
Tentera Zionis yang menyerbu hospital itu minggu lalu mendakwa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah premis kesihatan berkenaan untuk melancarkan serangan.
Bagaimanapun, Hamas dan pegawai hospital tersebut berulang kali menafikan dakwaan itu.
Pegawai kesihatan Palestin berkata, seorang lagi doktor dan dua jururawat turut ditahan.
Menurut kenyataan Israel, pengarah hospital itu ditahan untuk disoal siasat berikutan bukti yang menunjukkan Hospital al-Shifa dijadikan sebagai pusat arahan dan kawalan Hamas.
“Terdapat aktiviti Hamas yang meluas di hospital itu semasa ia di bawah pengurusannya,” menurut kenyataan itu sambil mendakwa terowong Hama mendapatkan bekalan elektrik dan sumber lain daripada hospital itu.
Kenyataan itu juga memberitahu, sama ada pengarah itu akan dikenakan soal siasat lanjut bergantung jika dia didapati mempunyai penglibatan dalam aktiviti pengganas.
Dalam satu kenyataan, Hamas mengecam sekeras-kerasnya penahanan Mohammad Abu dan rakan-rakannya serta menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan badan antarabangsa lain berusaha membebaskan mereka.
Selain itu, jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, Hospital Indonesia di Bandar Gaza turut dihujani serangan bom bertubi-tubi. – Utusan memetik Agensi