DUA tebusan warga Israel di Genting Gaza mahu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bertanggungjawab ke atas penahanan dan keselamatan mereka, menurut video yang dikeluarkan pada Khamis.
Video yang dikeluarkan di Telegram oleh sayap tentera kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin, Briged Al-Quds, menunjukkan Hanna Katzir, 77, dan Yagil Yaakov, 13, dari Kibbutz Nir Oz.
Katzir menganggap Netanyanhu bertanggungjawab untuk “keseluruhan masalah, untuk apa yang berlaku di sini, dan untuk kekacauan di dunia.”
Dia menggesa beliau meletak jawatan dan bersara serta menggesa kerajaannya mencapai persetujuan supaya semua tebusan di Genting Gaza boleh kembali kepada keluarga mereka.
Katzir berkata: “Pejuang Jihad (Islam) melakukan segala-galanya untuk memastikan kami selamat. Mereka melayan kami dengan penuh hormat.”
Remaja itu menyampaikan mesejnya kepada Netanyahu: “Anda membunuh kanak-kanak dan tahanan Israel.”
“Anda memotong air, elektrik dan ubat-ubatan, dan kami, sebagai banduan, memerlukan semua itu,” tambahnya.
Briged Al-Quds menyatakan kesediaan untuk membebaskan dua tebusan “atas sebab kemanusiaan.”
Pada Khamis, sayap tentera kumpulan pejuang Palestin, Hamas berkata, seorang askar wanita Israel, yang ditahan, terbunuh dalam serangan udara Israel.
Itu menjadikan angka kematian tebusan Israel di Genting Gaza kepada 61, manakala Briged Al-Qassam berkata, seorang lagi askar yang menjadi tebusan telah cedera dalam serangan itu.
Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Genting Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober, di mana ia mengambil berpuluh-puluh tebusan.
Sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin, termasuk 4,324 kanak-kanak dan 2,823 wanita, telah terbunuh.
Angka kematian Israel menghampiri 1,600, menurut angka rasmi. – Anadolu