GAZA: Angka korban rakyat Palestin di Gaza meningkat lebih 12,000 orang dengan 5,000 daripadanya adalah kanak-kanak.
Pejabat media kerajaan Palestin di Gaza turut menjelaskan lebih 3,750 rakyat Palestin hilang termasuk 1,800 kanak-kanak, dipercayai masih di bawah runtuhan.
Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan gangguan dalam komunikasi disebabkan intensiti pencerobohan yang berterusan tidak membenarkan sebarang kemas kini mengenai anggaran kecederaan dan kematian sepanjang empat hari lalu.
Organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengesahkan sektor kesihatan di Gaza dalam keadaan kritikal dengan 65 peratus daripada kemudahan penjagaan primer tidak berfungsi, dan 69 peratus hospital tidak beroperasi.
WHO turut menegaskan operasi darat di Gaza City dan berhampiran hospital bersama-sama dengan kekurangan bahan api, membawa kepada ketidakupayaan pasukan penyelamat dan ambulans di beberapa kawasan.
Sementara itu, pakar PBB menggesa Israel membenarkan air bersih dan bahan api masuk ke Gaza untuk mengaktifkan rangkaian bekalan air dan mencegah krisis kemanusiaan.
Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia terhadap air minuman dan sanitasi yang selamat, Pedro Arrojo-Agudo, menekankan tindakan menghalang bekalan yang diperlukan untuk penduduk mendapat akses kepada air selamat melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa. – Berita Harian