HomeBeritaGeng kaki pancing! Jom rebut hadiah RM40,000 di Port Dickson Ahad ini

Geng kaki pancing! Jom rebut hadiah RM40,000 di Port Dickson Ahad ini

CYBERJAYA: Bagi anda yang gemar memancing, jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah lebih RM40,000 menerusi pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Port Dickson Surfcasting yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Pertandingan yang dianjurkan Kelab memancing, West Coast Surfcaster (WCS) ini merupakan inisiatif membantu kerajaan mempromosi pelancongan dalam negara menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia.

Presiden WCS, Yusuf Harun berkata, pertandingan julung kali dianjurkan ini diharap membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari seluruh Semenanjung bagi menyertai acara terbabit.

“Selain memancing, peserta bersama keluarga dapat bercuti di pantai peranginan popular ini, sekali gus turut menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya memetik Berita Harian.

Tambah beliau, pemilihan lokasi pertandingan adalah kerana Port Dickson kaya dengan pelbagai spesies ikan gred A seperti ebek, bawal pinang, daun baru, gerong belang dan lain-lain.

Menerusi pertandingan ini, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM18,000, naib juara (RM4,000) dan ketiga (RM2,000), manakala pemenang keempat dan kelima, masing-masing akan membawa pulang RM800 dan RM500.

Bukan itu sahaja, hadiah RM200 akan diberikan kepada peserta di tempat keenam hingga 20, manakala tempat ke-21 hingga 120 bakal menerima RM150.

Selain itu, turut disediakan 30 hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai RM100 setiap satu.

Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan mulai jam 2 petang Sabtu hingga 12 tengah malam dan bersambung pada jam 6.30 pagi Ahad hingga pertandingan dimulakan dengan 300 peserta paling awal mendaftar akan menerima baju T percuma.

Individu yang berminat menyertai pertandingan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi penganjur di talian 019-6203040, 012-2141401 atau 012-6823479.

Foto: FB Wakjali Kasran

Author

Pilihan Editor