HomeGlobal'Hentikan kengerian ini,' kata ketua Unicef semasa lawatan ke Gaza

‘Hentikan kengerian ini,’ kata ketua Unicef semasa lawatan ke Gaza

BANDAR GAZA, Palestin: Ketua Unicef pada Rabu menyifatkan situasi di Genting Gaza sebagai “kemusnahan” di tengah-tengah serangan maut Israel di wilayah Palestin yang terkepung.

“Hari ini saya melawat Genting Gaza untuk bertemu dengan kanak-kanak, keluarga mereka dan kakitangan Unicef. Apa yang saya lihat dan dengar amat mendukacitakan. Mereka mengalami pengeboman, kehilangan dan perpindahan berulangkali,” kata Pengarah Eksekutif Unicef, Catherine Russell dalam satu kenyataan.

“Di dalam genting itu, tiada tempat selamat untuk 1 juta kanak-kanak Gaza berpaling,” tambahnya.

Pegawai PBB itu berkata bahawa lebih 4,600 kanak-kanak telah terbunuh dan hampir 9,000 yang lain telah cedera di Genting Gaza.

“Ramai kanak-kanak hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan rumah, akibat tragis penggunaan senjata letupan di kawasan berpenduduk,” kata Russell.

“Bayi yang baru lahir yang memerlukan penjagaan khusus telah meninggal dunia di salah sebuah hospital di Gaza kerana bekalan elektrik dan perubatan kehabisan, dan keganasan berterusan tanpa mengira siapa,” tambahnya.

Ketua Unicef menggesa pihak-pihak yang terlibat dalam konflik Gaza untuk “menghentikan kengerian ini.”

“Saya sekali lagi menyeru semua pihak untuk memastikan kanak-kanak dilindungi dan dibantu, mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Hanya pihak yang terlibat dalam konflik yang benar-benar boleh menghentikan kengerian ini.

“Saya juga menyeru pihak-pihak untuk melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan segera, untuk membebaskan semua kanak-kanak yang diculik dan ditahan dengan selamat, dan untuk memastikan bahawa kakitangan kemanusiaan mempunyai akses yang selamat, berterusan dan tanpa halangan untuk mencapai mereka yang memerlukan dengan rangkaian penuh perkhidmatan menyelamatkan nyawa dan bekalan,” kata Russell.

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Genting Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin Hamas pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 11,320 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk hampir 7,800 wanita dan kanak-kanak, dan lebih 29,200 yang lain telah cedera, menurut angka terkini daripada pihak berkuasa Palestin.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, telah rosak atau musnah dalam serangan Israel.

Angka kematian Israel, sementara itu, berjumlah 1,200, menurut angka rasmi. – Anadolu

Author

Pilihan Editor