HomeBeritaHujan sepanjang malam, mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat

Hujan sepanjang malam, mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini kembali meningkat kepada 459 orang susulan hujan berterusan melanda kebanyakan kawasan sepanjang malam tadi.

Bilangan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 410 orang berbanding hanya 49 orang yang masih berada di sebuah PPS di Pasir Mas petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa itu terdiri daripada 123 buah keluarga di Pasir Mas dan Bachok.

Menurutnya, dua buah PPS di Bachok iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Lalang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat dibuka malam tadi yang menempatkan seramai 374 mangsa.

“Mangsa banjir di PPS SK Gual Tok Deh, Rantau Panjang meningkat kepada 85 orang daripada 49 orang.

“Setakat ini, dua buah daerah terjejas banjir dan tiga PPS dibuka di kawasan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua sungai-sungai utama di negeri ini kembali kepada paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang masih ditahap amaran.

Katanya, selain itu, Sungai Semerak di Jambatan Melor dan Sungai Kelantan di Kuala Besar di sini menunjukkan bacaan berjaga-jaga. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor