HomeBeritaInstitusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu bakal keluarkan 16 tan ikan keli

Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu bakal keluarkan 16 tan ikan keli

JELEBU: Ladang ternakan ikan keli Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu, di sini dijangka bakal mengeluarkan hasil sebanyak 16 tan metrik sebulan berbanding sekitar 7.5 tan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir berkata, sasaran berkenaan adalah berdasarkan kejayaan ladang tersebut menjadi ladang ternakan ikan keli pertama di penjara yang menerima pensijilan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Selain itu menurutnya, bagi menyokong hasrat itu, Jabatan Perikanan Malaysia juga akan menyampaikan bantuan Mesin Extruder M-Spex kepada Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu bagi penghasilan sendiri makanan buat ternakan.

“Berdasarkan rekod sehingga bulan Mei lalu, jumlah pengeluaran ikan keli dari ladang ternakan Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu adalah sebanyak 30.35 tan metrik dengan nilai sebanyak RM212,450.

“Harapan saya, agar Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu dapat mengekalkan pensijilan ini pada masa akan datang seterusnya menjadi contoh kepada ladang-ladang ternakan akuakultur lain milik Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sempena Program Kesedaran Amalan Akuakultur Baik Ke Arah Pensijilan MyGAP, Penyerahan Sijil MyGAP dan Mesin Extruder M-Spex di Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Pada program berkenaan juga, sebanyak 10,000 benih ikan keli turut dilepaskan ke kolam ternakan ikan keli di situ.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya telah memberi bantuan sebanyak 237,000 benih ikan percuma terdiri daripada spesies keli, tilapia, jelawat dan kelah kepada pihak Penjara Jelebu sepanjang tahun 2021 dan 2022 serta bantuan peralatan ternakan.

Menurutnya, melalui kejayaan pensijilan MyGAP kepada Institusi Pemulihan Dadah Penjara Jelebu itu, pihaknya ingin menguar-uarkan kepada komuniti kemampuan penternak untuk menjalankan aktiviti secara mesra alam dan memastikan bekalan selamat dimakan serta patuh syariah.

“Di seluruh negara, sebanyak 415 pensijilan MyGAP yang kami keluarkan dan ikan keli merupakan salah satu daripada tiga spesies utama yang diberi penekanan dalam komuniti ikan air tawar iaitu dua lagi tilapia dan patin,” katanya.

Sementara itu, Nordin memberitahu, projek ternakan ikan keli itu turut dilaksanakan di beberapa institusi menempatkan banduan yang lain di seluruh negara yang mana hasilnya adalah bagi kegunaan penjara sendiri.

“Dua kali seminggu banduan makan berlaukkan ikan keli, ikan yang diternak ini bukan sahaja cukup tetapi juga selamat untuk dimakan.

“Sekarang ini, ladang di sini membekalkan bukan sahaja untuk Negeri Sembilan tetapi juga untuk beberapa institusi di bawah jabatan di Selangor antaranya Penjara Wanita dan juga di Pahang iaitu Penjara Bentong,” katanya lagi. – Utusan

Authors

Pilihan Editor