CYBERJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil langkah awal bersama pihak berkuasa negeri, susulan tular video memaparkan sebuah pasar raya yang tidak mengasingkan kaunter jualan daging babi dengan kaunter umum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, siasatan lanjut turut dijalankan bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan baik.
“Jakim mengambil maklum mengenai isu video tular melalui media sosial berkenaan kaedah pengendalian produk tidak halal di sebuah premis runcit yang dipercayai berlaku di sebuah negeri utara tanah air.
“Jakim memberi perhatian penuh terhadap isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Bagaimanapun secara umumnya, katanya, premis peruncitan bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkonsepkan peruncitan.
Hantaran tersebut sebagai maklum balas awal berhubung isu video tular pengendalian ‘pork slice‘ atau potongan daging babi di sebuah premis runcit.
Bulan lalu, MEDIA VARIASI melaporkan bahawa seorang lelaki menerusi laman TikTok @ChefZarul mendedahkan mengenai sebuah pasar raya, yang hanya membiarkan pelanggan membayar potongan daging babi di kaunter umum.
Lebih teruk, kaunter tersebut dibasahi dengan air daripada daging babi tersebut.
Perkara ini menyebabkan kegusaran pelanggan lain khususnya umat Islam tentang kebersihan premis itu, selain terpaksa menyertu barangan yang bercampur dengan cecair daripada daging babi berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Na’im berkata, orang ramai khususnya masyarakat Muslim dinasihatkan terus berwaspada dan pastikan memilih premis atau produk yang disahkan halal dan selamat.
“Sebarang aduan berkenaan penyalahgunaan logo atau sijil halal, kemukakan melalui WhatsApp Halal Malaysia 03-88925000,” katanya.