HomeBerita‘Jangan jadikan isteri alasan buat U-turn’

‘Jangan jadikan isteri alasan buat U-turn’

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak menggunakan isteri sebagai alasan untuk membuat pusingan U.

Perkara itu dibangkitkan Guan Eng susulan Muhyiddin membatalkan hasrat untuk tidak bertanding mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada pemilihan parti akan datang.

Guan Eng menyifatkan bahawa tindakan bekas Perdana Menteri itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa,  beliau tidak memiliki kualiti sebagai seorang pemimpin berwibawa.

Pada masa sama, beliau membandingkan keputusan Muhyiddin itu dengan tindakan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang kekal dengan pendirian untuk bersara.

“Pelbagai helah dimainkan oleh Muhyiddin bagi membenarkan pusingan U yang dilakukannya. Kini, nama isteri pula disebut dan digunakan untuk menghalalkan langkah politik beliau.

“Saya sendiri terkejut apabila mengetahui Muhyiddin berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti akan datang. Tak sampai 24 jam kemudian, beliau menarik kembali keputusannya.

“Sebagai pemimpin, kita buat keputusan dan ambil tanggungjawab terhadap keputusan. Kalau nak buat pusingan U sekalipun, berilah sebab yang benar-benar munasabah. Tapi jangan salahkan isteri pula,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Rabu.

Jumaat lalu, Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Bersatu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan akan datang.

Namun, sehari selepas itu, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau akan kembali bertanding jawatan Presiden Bersatu selepas dipujuk oleh isterinya, Datin Seri Noorainee Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut melihat tindakan Muhyiddin itu seperti mempermainkan ahli-ahli Bersatu.

Justeru, Guan Eng  turut menasihatkan Muhyiddin agar tidak memperolok-olokkan rakyat Malaysia.

“Muhyiddin mungkin boleh mempermainkan ahli-ahli Bersatu, tetapi jangan memperolok-olokkan rakyat Malaysia.

“Kita perlu pemimpin yang berpegang pada kata-kata. Kualiti pemimpin seperti ini sangat diperlukan untuk membawa kemajuan dan kemakmuran negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor