HomeGlobalJijik! Pemotong daging siat rusuk kambing mentah guna gigi

Jijik! Pemotong daging siat rusuk kambing mentah guna gigi

SEORANG pemotong daging bertindak menyiat daging rusuk kambing mentah dengan hanya menggunakan giginya menimbulkan rasa jijik orang ramai.

Menerusi video yang dirakam di sebuah premis di wilayah Anhui, timur China, tindakan lelaki berkenaan juga menimbulkan kebimbangan serius mengenai tahap kebersihan yang tidak teliti, berikutan daging mentah dipercayai mengandungi bakteria berbahaya.

Pada masa sama, lelaki terbabit mendakwa teknik tersebut sudah digunakan untuk beberapa dekad, manakala memotong daging menggunakan gigi dikatakan lebih cepat berbanding alatan khas.

Tambahnya, individu yang mahir melakukan teknik itu tidak akan meninggalkan kesan air liur.

Sementara itu, seorang anggota pihak berkuasa bagi pengawalseliaan pasaran memaklumkan, premis terbabit sudah pun disiasat manakala aksi video berkenaan dibuat semata-mata untuk menarik perhatian pengikut atas talian.

“Ini bukan teknik kuno. Tiada siapa yang memotong daging rusuk kambing mentah dengan mulut sebelum ini,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.

Pada masa sama, aksi lelaki itu turut menerima kecaman netizen yang rata-ratanya tidak ketinggalan meluahkan rasa jijik.

“Parasit dalam daging mentah berisiko mengancam nyawa individu yang memotong daging dengan mulut mereka. Ini mungkin kali pertama saya lebih risau tentang peniaga berbanding diri saya sendiri,” tulis seorang individu.

“Menyifatkan perbuatan itu sebagai tradisi tidak menjadikannya sebagai bersih, sebaliknya hanya dilihat menjijikkan,” kata seorang lagi individu.

Tambah seorang pengguna: “Jijik betul perbuatannya, tak bersih langsung.”

Author

Pilihan Editor