HomeBeritaJualan kenderaan baharu melonjak 10 peratus bulan lalu

Jualan kenderaan baharu melonjak 10 peratus bulan lalu

KUALA LUMPUR: Industri automotif tempatan merekodkan peningkatan jualan kenderaan baharu pada Oktober denganjumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 74,896 unit.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah itu adalah 10 peratus lebih tinggi daripada 68,156 unit pada September.

Ia juga, katanya adalah TIV bulanan kedua tertinggi serta TIV kali ketiga melebihi 70,000 unit untuk tahun ini.

Mengikut rekod, TIV bulanan tertinggi adalah pada Mac 2023 sebanyak 78,849 unit.

“Jumlah jualan tahunan sehingga Oktober 2023 pula adalah 12 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2022.

“Rekod jualan yang memberangsangkan itu disumbangkan oleh kenderaan buatan tempatan.

“Angka jualan pada November 2023 juga dijangka akan menyamai tahap jualan yang dicatatkan pada October 2023,” katanya.

MAA berkata, jualan kenderaan penumpang adalah sebanyak 67,478 unit pada Oktober 2023 daripada 55,395 unit pada Oktober 2022, manakala jualan kenderaan komersial turut meningkat kepada 7,418 unit daripada 6,525 unit.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, jualan meningkat kepada 646,840 unit berbanding 578,917 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah jualan kenderaan penumpang naik kepada 580,421 unit berbanding 514,515 unit pada tempoh sama 2022 dan kenderaan komersial sebanyak 66,419 unit berbanding 64,402 unit tempoh sama 2022.

Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata, sebanyak 74,191 kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2023, naik 25.8 peratus berbanding dengan 58,991 unit pada bulan sama tahun lalu.

Pengeluaran kenderaan penumpang, katanya, meningkat 27 peratus kepada 69,475 unit pada bulan dikaji berbanding 54,601 unit pada Oktober tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial naik tujuh peratus pada 4,716 unit daripada 4,390 unit sebelumnya. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor