AMPANG: Seorang lelaki ditahan bersama sebuah motosikal ditunggangnya di Pandan Indah, di sini pada Selasa selepas menggunakan nombor pendaftaran mengelirukan.
Menerusi perkongsian Friends of Trafik Ampang di laman Facebook, penahanan itu dibuat ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya melakukan rondaan di sekitar kawasan tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati, bahagian belakang kenderaan itu memaparkan nombor pendaftaran ‘MAT REMPIT’, manakala tiada sebarang nombor pendaftaran pada bahagian hadapan.
“Pemeriksaan lanjut dibuat dengan menggunakan alat MCOPS pada nombor chasis, manakala nombor enjin motosikal itu tertera nombor pendaftaran sebenar motosikal tersebut dan berlainan dari yang dipamerkan.
“Individu terbabit bersama kenderaan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk tindakan lanjut,” tulis kenyataan itu.
Kes disiasat dibawah Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.