AHLI kumpulan BigBang, G-Dragon didapati negatif dalam penggunaan dadah selepas melalui ujian rambut dan air kencing.
G-Dragon atau Kwon Ji-Yong, 35, memaklumkan perkara tersebut dalam sesi bersama media selepas siasatan polis dijalankan terhadapnya di Agensi Polis Metropolitan, Incheon.
Malah, penyanyi rap Korea itu turut meminta siasatan menyeluruh dan tepat dilakukan bagi mengetahui keputusan sebenar siasatan tersebut.
Menurutnya, siasatan itu berlangsung selama lebih dari empat jam.
“Saya menerima keputusan negatif daripada ujian dadah.
“Saya juga telah membuat permintaan untuk ujian dadah dilakukan lebih komprehensif.
“Saya berharap pihak penyiasat mengumumkan keputusan itu dengan cepat,” katanya kepada media Korea.
Tambahnya, dia bersedia menyerahkan telefon bimbitnya sekiranya diperlukan oleh pihak polis.
“Saya belum beri tetapi jika diperlukan pada masa akan datang dan berada dalam senarai item yang akan dikemukakan, saya telah memaklumkan (polis) bahawa saya sedia menyerahkannya,” ujarnya.
Sebelum ini, penyanyi lagu Untitled,2014 dilaporkan telah dipanggil polis atas tuduhan penyalahgunaan dadah.
G-Dragon telah dibawa ke balai polis Incheon, Korea, namun tiada tahanan dibuat terhadapnya.