HomeBeritaKedah catat kes cerai tertinggi di Malaysia

Kedah catat kes cerai tertinggi di Malaysia

CYBERJAYA: Kedah mencatatkan rekod tertinggi bagi kes perceraian di Malaysia dengan jumlah sebanyak 113.6 peratus pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kes perceraian di Malaysia meningkat 43.1 peratus daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes pada 2022.

Menurutnya, bilangan perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 45.8 peratus pada 2022 atau 46,138 kes berbanding 31,650 kes pada 2021.

“Peningkatan ini disebabkan kes-kes yang dibawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya.

“Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah (113.6 peratus), Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus).

“Sementara itu, perceraian orang bukan Islam juga turut meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 (2021) kepada 16,752 (2022). Tiga lokasi atau negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam iaitu Putrajaya (500 peratus) diikuti Johor (61.5 peratus) dan Melaka (59.0 peratus),” katanya memetik laporan Utusan pada Khamis.

Tambah beliau, perceraian tertinggi adalah dalam kelompok kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi pengantin lelaki manakala pengantin perempuan adalah pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, 2023 yang membentangkan statistik perkahwinan dan perceraian bagi tahun 2021  dan  2022 mengikut ciri-ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.

Statistik tersebut amat penting dalam perancangan dasar sosial bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di Malaysia selain berguna sebagai sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik.

Author

Pilihan Editor