HomeGlobalIsrael perhebatkan serangan di seluruh Gaza menjelang jeda kemanusiaan

Israel perhebatkan serangan di seluruh Gaza menjelang jeda kemanusiaan

ISRAEL memperhebatkan serangannya di seluruh Genting Gaza lewat Rabu sejurus sebelum jeda kemanusiaan dalam pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas dijangka berkuat kuasa.

Tentera Israel menyerang beberapa kawasan di seluruh Genting Gaza, khususnya di bahagian utara, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Ia berkata beberapa orang terbunuh dalam siri serangan udara Israel ke atas rumah kediaman di kem pelarian Nuseirat.

Agensi itu memetik sumber tempatan sebagai berkata, artileri Israel mengebom sekitar Sekolah Khalifa di Beit Lahia di utara Gaza, yang menempatkan lebih 8,000 orang yang kehilangan tempat tinggal, menyebabkan ramai yang cedera.

Di Bandar Gaza, pesawat pejuang Israel menyerang kawasan kejiranan Sheikh Ridwan dan Shejaiya.

Serangan meriam turut dilaporkan di Al-Fukhari di timur Khan Younis di selatan Genting Gaza dan satu lagi serangan udara ke atas sebuah rumah di Rafah yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera, kata WAFA.

Serangan terbaru itu berlaku ketika jeda kemanusiaan dijangka berkuat kuasa hasil pengantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas.

Di bawah jeda kemanusiaan, Hamas dijangka membebaskan 50 tawanan yang ditahan di Gaza, terutamanya wanita dan kanak-kanak, sebagai pertukaran untuk membebaskan wanita dan kanak-kanak Palestin dari penjara Israel.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Genting Gaza berikutan serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober.

Jumlah orang yang terbunuh dalam serangan udara dan darat Israel di Gaza Gaza sejak itu telah meningkat kepada 14,532, termasuk lebih 6,000 kanak-kanak dan 4,000 wanita, kata pejabat media di kawasan yang dikepung itu pada Rabu.

Angka kematian Israel, sementara itu, adalah sekitar 1,200, menurut angka rasmi. – Anadolu

Author

Pilihan Editor