JOHOR BAHRU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang melaksanakan transformasi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan, untuk kekal relevan.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, berkata langkah itu juga bagi memastikan kemahiran dan pendedahan yang ditawarkan kepada pelajar selari dengan keperluan penggerak industri negara.
Katanya, menerusi perancangan TVET 2.0 juga pihaknya akan berusaha menjadikan pemain industri sebagai rakan strategik KEMAS.
“Kita akan sesuaikan modul dengan keperluan industri supaya keluaran kita ada nilai pasaran dan boleh bekerja atau dapat jalankan perniagaan sendiri. Peserta yang ada dalam KEMAS ada tujuan.
“Kita sudah puluhan tahun laksanakan TVET, sudah sampai masa kita kena sesuaikan program TVET yang dianjurkan KEMAS mengikut keadaan semasa dan kita kena bergerak ke hadapan.
“Justeru, kita melancarkan program TVET 2.0 yang memfokuskan tambah nilai menjadikan program ini sesuai untuk masyarakat, kerana asas tumpuan kerajaan sekarang adalah kepada TVET.
“Pada asalnya TVET di KEMAS tiada sijil, jadi kelas TVET KEMAS dengan modul baharu yang telah kita gubal. Kita sediakan sukatan pelajaran TVET ini sekiranya mereka berjaya habiskan modul kita, insya-Allah kita kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk pemberian sijil. Sebelum ini jika hadir kelas umpama sambilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui selepas merasmikan program Wanita Inspirasiku (WINS) di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.
Ahmad Kamal Idris berkata, KEMAS ketika ini menawarkan kursus separuh masa untuk peserta mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Katanya KEMAS juga mempunyai dua akademi kemahiran yang menawarkan kursus belajar sepenuh masa dalam bidang jahitan iaitu pembuatan pakaian wanita dan pembuatan pakaian lelaki serta bidang kulinari.
“Dua akademi KEMAS terletak di Seri Iskandar dan Gopeng di Perak. Kita juga tawarkan SKM tahap tiga dan empat,” katanya. – Berita Harian