GEORGETOWN: Lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Bukit Gambir, di sini, hari ini.
Nahas pada jam 3 petang itu berlaku di laluan arah Universiti Sains Malaysia (USM) ke Jalan Tun Dr Awang, membabitkan tiga motosikal dan empat kereta.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat dan semua kenderaan berhenti berikutan lampu isyarat merah.
Katanya, kemalangan berlaku selepas kereta yang dipandu seorang wanita hilang kawalan dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya.
Pemandu wanita itu cedera di bahagian dada, manakala penunggang dan pembonceng sebuah motosikal masing-masing mengalami kecederaan pada leher dan kaki kanan serta pendarahan di kepala.
“Seorang penunggang motosikal patah kaki dan seorang lagi belum pasti manakala tiga lagi pemandu kereta tidak cedera,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semua yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian terbabit turut tular di media sosial, antaranya memaparkan salah seorang penunggang motosikal yang juga mangsa terpelanting ke dalam longkang.
Manakala, satu daripada kereta yang terbabit turut terbabas ke pembahagi jalan berhampiran laluan pejalan kaki.