KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan yang kini bertugas sebagai penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ bakal mewarnai industri perfileman tanah air apabila memberi bayangan akan membintangi satu filem.
Bagaimanapun, Khairy atau mesra dipanggil KJ enggan terlalu memperincikan mengenainya, selain menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan bersama penerbit filem berkenaan.
“Sekarang saya dalam perbincangan dengan beberapa penerbit filem dan kena tunggulah pengumuman nanti,” katanya kepada BH Online.
Ditanya watak dan genre filem yang bakal dijayakan, KJ hanya meminta untuk menunggu sehingga pengumuman dibuat.
“Kena tunggu, jangan ‘spoil the surprise’ (ganggu kejutan itu),” katanya ketika ditemui selepas majlis doa selamat bersama anak-anak yatim daripada Rumah Cahaya Kasih Kota Damansara sempena Hot FM yang diumum sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia di Emporis Kota Damansara, semalam.
Sementara itu, mengulas kejayaan Hot FM mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia, KJ berkata, ia adalah hasil daripada pengisian baik yang sering ditampilkan stesen radio berkenaan.
“Alhamdulillah sekali lagi Hot FM dinobatkan sebagai stesen nombor satu di Malaysia dan kita melihat walaupun dalam pasaran begitu sengit, apa yang dipersembahkan Hot FM menepati cita rasa rakyat Malaysia dan orang ramai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pendengar dan kami di Hot FM akan bekerja keras untuk menceriakan anda dan membawa pengisian lebih baik.
“Salah satu strategi yang saya nampak sangat berjaya di Hot FM adalah penggunaan media sosial. Kita bukan hanya nombor satu dari segi stesen radio, tapi saya rasa nombor satu dari segi sosial media juga,” katanya.
Terdahulu, Hot FM iaitu stesen radio milik Media Prima Audio (MPA) menjadi stesen radio nombor satu di Malaysia menurut kaji selidik Nielsen Consumer and Media View (CMV) antara Julai 2022 sehingga Jun tahun ini.
Sepanjang kaji selidik dijalankan CMV, Hot FM sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang menjadi pilihan di negara ini berjaya menunjukkan peningkatan konsisten dengan mencatat jumlah pendengar mingguan sebanyak 3.73 juta.
Pada masa sama, KJ mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM termasuk rakan penyampai di segmen kendaliannya, Bekpes Hot iaitu AG, Johan dan Fara Fauzana kerana banyak membantu dalam menggalas tugas berkenaan, malah bersedia untuk terus berkhidmat selagi diberi kepercayaan.
“Saya berterima kasih kepada pengurusan Hot FM dan rakan-rakan di konti iaitu AG, Johan dan Fara menerima saya dengan hati yang terbuka. Saya rasa persembahan saya semakin okay… tak adalah ‘kayu’ sangat macam dulu.
“Saya gembira dengan Hot FM, selagi kepercayaan diberikan oleh pendengar dan rakan-rakan di Hot FM, saya akan kekal bersama dengan pasukan Bekpes Hot,” katanya.
Mengenai perwatakannya yang dikatakan berubah 360 darjah sejak menyertai Hot FM, KJ berkata, apa yang ditampilkan adalah watak semula jadinya.
“Saya rasa watak saya di Hot FM bukanlah sesuatu yang berpura-pura, ia semula jadi. Mungkin awal itu agak segan sikit, tapi saya semakin yakin menjadi diri saya di Hot FM,” katanya.
Pada 15 Februari lalu, MPA mengumumkan Hot FM merekodkan peningkatan 75 peratus pendengar dalam tempoh sejam melalui penstriman langsung digital Hot FM di hotfm.audio dan aplikasi Audio+, berikutan penangan hari pertama KJ melapor diri sebagai penyampai di stesen radio popular itu. – Berita Harian