PUTRAJAYA: Syarikat Lautan Variasi Sdn Bhd merancang untuk merapatkan lagi jurang digital dalam kalangan penduduk di negara ini dengan menyediakan teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT), iaitu satelit Lower Earth Orbit (LEO).
Dalam langkah untuk melancarkan usaha tersebut, pihak pengurusan Lautan Variasi mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa di pejabatnya pada Rabu.
Pengarah Urusan Lautan Variasi, Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer berkata, pertemuan selama sejam itu antara lain untuk memperkenalkan teknologi dimiliki syarikat tersebut kepada KKD.
Beliau berkata, perjumpaan itu turut membincangkan mengenai kerjasama antara Lautan Variasi dan Telstra Corp dalam penyediaan satelit LEO VSAT untuk dipasarkan di Malaysia.
“Selain itu, kami berbincang mengenai pelaksanaan beberapa inisiatif projek di Sabah yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Lautan Variasi.
“Salah satu daripadanya adalah pemasangan satelit VSAT di Taman-Taman Sabah.
“Terdapat sembilan taman di Sabah akan dilengkapi rangkaian internet menggunakan satelit LEO, sekali gus inisiatif ini akan merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.
Perbincangan yang berkisar industri komunikasi dan teknologi dianggap sangat bermanfaat ditambah dengan visi Mohamad Fauzi yang mahukan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar diatasi dengan kadar segera.
Syed Nasir berkata, Lautan Variasi turut menjemput Menteri KKD, Fahmi Fadzil dan juga Mohamad Fauzi bagi menghadiri majlis pelancaran satelit LEO bersama Telstra.
Namun, Syed Nasir berkata, hari pelancaran akan ditetapkan setelah mendapat tarikh sesuai daripada KKD bagi menyempurnakan majlis tersebut.
“Lautan Variasi berbesar hati untuk menjadi rakan teknologi kepada KKD, selepas mengambil kira kementerian banyak membuka ruang perniagaan kepada syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerusi platform digital,” kata beliau.
Lautan Variasi merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) berlesen sejak 2016.
Syarikat yang diperbadankan perniagaannya pada Ogos 2015 itu menyediakan perkhidmatan Telekomunikasi dan Rangkaian Jalur Lebar berlesen sepenuhnya menerusi VSAT, iaitu stesen bumi dua hala yang menghantar dan menerima data daripada satelit.