HomeBeritaBayaran STR Fasa 4 mulai 7 November ini

Bayaran STR Fasa 4 mulai 7 November ini

CYBERJAYA: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 yang merupakan pembayaran akhir bagi tahun ini, akan disalurkan sebelum perayaan Deepavali secara berperingkat mulai 7 November ini.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion akan melibatkan seramai 5.22 juta penerima STR sedia ada dengan menerima bantuan tunai sehingga RM1,200.

Turut menerima bantuan tunai di bawah STR Fasa 4 adalah lebih 280,000 penerima baharu yang diluluskan untuk Rayuan STR 2023.

“Mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing. Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, mulai hari ini, individu yang layak boleh membuat permohonan baharu dan mengemas kini maklumat mereka untuk STR 2024 sepanjang tahun berbanding proses permohonan STR 2023 yang hanya dibuat setahun sekali.

“Ini bagi memastikan mereka yang layak namun tiada dalam pangkalan data kerajaan boleh tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat,” katanya.

Author

Pilihan Editor