LINTASAN sempadan Rafah dijangka dibuka hari ini bagi membolehkan rakyat Palestin yang cedera dirawat di hospital Mesir.
Pengarah media lintasan sempadan Rafah, Wael Abu Mohsen, mengesahkan kepada Anadolu bahawa lintasan itu akan dibuka.
Gabenor Sinai Utara, Mesir, Mohamed Shosha mengesahkan pembukaan lintasan sempadan dalam satu kenyataan televisyen untuk saluran Mesir.
Beliau berkata dalam kenyataan sebelum ini, Gabenor Sinai Utara dalam keadaan berjaga-jaga untuk menerima penduduk Palestin yang cedera sebaik sahaja lintasan sempadan dibuka.
Lintasan sempadan Rafah telah ditutup sejak tercetusnya pertempuran di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober dan dibuka sebahagiannya selama beberapa hari untuk membenarkan kemasukan hanya sejumlah trak bantuan.
Pengarah media lintas Rafah menyatakan bahawa 196 trak bantuan setakat ini telah menyeberang ke Gaza sejak 7 Okt.
Tentera Israel telah memperluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, yang telah diserang tanpa henti sejak serangan mengejut oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas, awal bulan ini.
Lebih 10,000 orang telah terbunuh dalam konflik sejak itu, termasuk 8,525 rakyat Palestin dan 1,538 warga Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menolak gesaan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata, mengatakan ia akan menjadi “penyerahan” kepada Hamas.