MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Rabu berkata ia secara rasmi menerima 15 komen bertulis mengenai akibat undang-undang dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita rasmi Palestin WAFA, mahkamah berkata, 14 komen bertulis dikemukakan pada tarikh akhir 25 Oktober dari Jordan, Pertubuhan Kerjasama Islam, Qatar, Belize, Bangladesh, Palestin, Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Chile, Liga Arab, Mesir, Algeria, Guatemala, dan Namibia.
Di samping itu, mahkamah meluluskan pemfailan lewat dari Pakistan pada 2 November untuk ditambah.
Perbicaraan awam mahkamah dunia akan bermula 19 Februari depan di bandar The Hague, Belanda, tempat mahkamah bermesyuarat.
Disember lalu, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi meminta pendapat mahkamah dunia mengenai akibat undang-undang pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.
Resolusi itu diluluskan 87-26 dengan 53 berkecuali.
Kira-kira 666,000 peneroka tinggal di 145 penempatan dan 140 pos rawak (tidak dilesenkan oleh kerajaan Israel) di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, menurut pertubuhan bukan kerajaan, Israel Peace Now.
Di bawah undang-undang antarabangsa, semua penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki dianggap haram.
PBB telah melaporkan bahawa sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, 820 orang Palestin telah dipindahkan di Tebing Barat, dan serangan oleh peneroka haram Israel telah meningkat daripada purata tiga kepada tujuh sehari.
Sejak 7 Okt, lebih 400 serangan dilakukan di wilayah itu, mengakibatkan sembilan warga Palestin terbunuh.
Rakyat Palestin menekankan bahawa pengembangan berterusan penempatan Yahudi haram adalah salah satu ancaman terbesar kepada penubuhan negara Palestin dalam sempadan 1967 dan menyebabkan perpecahan di Tebing Barat.
Peneroka haram Yahudi bersenjata yang tinggal di kawasan ini sering menyerang rakyat Palestin dan memaksa mereka meninggalkan rumah mereka.
Pertubuhan hak asasi manusia Israel dan antarabangsa menuduh tentera Israel melindungi peneroka haram yang melakukan serangan ini. – Anadolu