PETALING JAYA: Pembayaran royalti McDonald’s Malaysia tidak sama sekali disalurkan untuk menyokong perang antara Palestin dan Israel.
Pengurus Besar dan Developmental Licensee, Reza Food Services Co Ltd, Abdulrahman Alireza menjelaskan, royalti yang dibayar kepada McDonald’s Corporation adalah untuk penggunaan jenama, program pembangunan bakat, serta pembangunan teknologi yang dilakukan mereka.
“Kami membayar royalti untuk penggunaan jenama, seperti yang saya katakan ia adalah jenama yang sangat kuat. Semua yang disediakan seperti latihan, sokongan, sistem, apa yang kami perolehi, wang itu disalurkan kepada mereka untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan, mereka menghasilkan pelbagai jenis sistem.
“Terutamanya pada masa kini dengan teknologi, banyak wang yang dibelanjakan untuk tujuan itu. Anda lihat aplikasi yang kami ada, ia memerlukan wang untuk membangunkannya. Itu semua dilakukan mereka. Itulah royalti yang dibayar.
“Selebihnya diberikan kepada pemegang saham, ia mudah, kerana ini adalah syarikat komersial,” jelasnya.
Sebagai sebuah syarikat komersial, McDonald’s mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang saham, termasuklah dalam hal membabitkan pendirian politik.
“Mana-mana syarikat komersial tidak akan memberi perkhidmatan kepada pemegang saham mereka jika mereka mengambil pendirian politik. Terdapat melebihi tujuh bilion penduduk dunia, kami ingin berkhidmat kepada mereka semua, itu cita-cita kami.
“Tetapi buat masa ini kami belum boleh lakukannya, jadi saya mahu menjelaskan, McDonald’s Corporation ialah sebuah syarikat komersial. Kami tidak mengambil pendirian politik,” katanya dalam sidang media khas di Petaling Jaya, minggu lalu. Turut hadir pada sesi itu ialah Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.
Reza Food Services, yang merupakan milik orang Islam, memiliki hak francais McDonald’s di Malaysia dan Singapura sejak 2017. Reza Food Services turut memiliki rangkaian restoran McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi.
Sementara itu, Azmir berkata, sepanjang 32 tahun beliau berkhidmat bersama McDonald’s, restoran khidmat segera itu sudah sering kali dikaitkan dengan konflik yang berlaku di Asia Barat, dengan situasi paling buruk dihadapi pada 2014.
Ironinya, ajakan boikot seperti yang dilaungkan sesetengah pihak susulan konflik berkenaan, lebih memberi impak kepada pekerja mereka, yang kesemuanya terdiri daripada anak tempatan.
“Sudah 42 tahun McDonald’s berada di Malaysia, saya sudah bekerja 32 tahun dan dalam tempoh itu setiap kali ada konflik Timur Tengah (Asia Barat), setiap kali itu ada isu dengan brand McDonald’s.
“Kita dikecam, dari segi perspektif kemanusiaan berkaitan pekerja, sejak dua minggu lalu saya pergi ke restoran-restoran, ramai yang mengatakan mereka sedih sebab mereka dikecam dan dicemuh, mereka pakai uniform ada lambang McDonald’s, naik bas orang cakap, “eh Yahudi”, kenapa jadi begitu?
“Kita orang Melayu, orang Islam, kita ada 21,000 pekerja. Mereka semua ada anak, isteri, keluarga dan sudah berpuluh tahun bekerja di McDonald’s mencari rezeki yang halal untuk keluarga, tapi dikecam, dicemuh.
“Malah ada yang dibaling batu pada tahun 2014, kenapa? Apa salah kita? Apa salah pekerja?” katanya.
McDonald’s Malaysia, tambahnya, sentiasa mengukuhkan komitmennya kepada masyarakat setempat menerusi 18,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun.
Ini termasuklah sumbangan RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin baru-baru ini, serta pelbagai program menerusi Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia) bagi membantu kanak-kanak kurang upaya dan kurang berkemampuan. – Awani