HomeBeritaPolitik'Muhyiddin patut cermin diri sendiri', Puad bidas dakwaan MP sokong Anwar diugut,...

‘Muhyiddin patut cermin diri sendiri’, Puad bidas dakwaan MP sokong Anwar diugut, disogok

CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil membidas dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa, empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diugut dan disogok untuk berbuat demikian.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu sebaliknya meminta Presiden Bersatu tersebut untuk ‘mencermin diri sendiri’ sebelum membuat dakwaan berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Puad menggesa Muhyiddin untuk mengingat kembali pihak yang menggunakan kaedah ugutan dan sogokan bagi mendapatkan sokongan.

“Muhyiddin patut cermin diri sendiri. Siapa yang guna kaedah ugut dan sogok. Semua Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti pada 2018 dan masuk Bersatu pada 2019 jadi menteri.

“Semua dapat jawatan. Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Shabudin Yahaya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.

Tangkap layar hantaran Mohd Puad di Facebook.

Mohd Puad mendakwa, pemimpin UMNO lain seperti Datuk Seri Najib Razak, Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shahrir Samad dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula diugut dengan puluhan tuduhan.

“Mereka tidak lari. Tanya Tok Pa dan Hamzah, kenapa lari? Takut didakwa.

“Peruntukan punya hal pun boleh lari. Ini semua kerana mereka tidak ada jati diri,” katanya.

Muhyiddin pada Khamis mendakwa, terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan parti tersebut dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap Ahli-ahli Parlimen.

Beliau yang juga PN itu berkata, pihaknya tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat berkenaan manakala tindakan yang lebih tegas bakal diambil.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian.

Author

Pilihan Editor