SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan.
Muhyiddin berkata, Perhimpunan Agung Bersatu 2023 adalah kali terakhir yang akan disertai beliau sebagai Presiden Bersatu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti mengikut proses demokrasi.
“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baru telah pun tiba.
“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu 2023 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini pada Jumaat.
Perhimpunan terbabit turut disiarkan di laman Facebook rasmi Bersatu.
Namun, dewan kecoh seketika apabila ahli Bersatu dan para hadirin membantah dan memintanya menarik balik keputusan tersebut.
Muhyiddin berkata, pemilihan Bersatu akan diadakan sebelum hujung tahun depan manakala tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak lama lagi.
Justeru, beliau menasihatkan pemimpin terbabit untuk mengamalkan musyawarah terlebih dahulu untuk, memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas mempunyai tempat dan peranan dalam parti.
“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan sepanjang tempoh beliau memimpin parti.
“Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik.
“Saya berdoa mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu, proses peralihan kepimpinan parti akan berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni,” ujarnya.