HomeHiburanNeelofa ingin tamatkan sengketa dengan Fazura

Neelofa ingin tamatkan sengketa dengan Fazura

KUALA LUMPUR: Selebriti sensasi Neelofa meluahkan hasrat ingin menamatkan ‘perang dingin’ antaranya dengan Fazura yang sudah berlanjutan berbelas tahun panjangnya.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor berkata, sudah sampai waktunya persengketaan antara mereka berdua ditamatkan demi kehidupan yang lebih harmoni.

“Saya rasa persengketaan ini perlu ditamatkan kerana sudah berlarutan berbelas tahun.

“Takkan saya hendak tunggu berpuluh tahun lagi untuk lakukan sesuatu.

“Jika diberikan peluang dan ruang untuk berdamai, saya akan sambut dengan hati terbuka. Saya rasa Fazura pun akan buat benda yang sama,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya itu menyifatkan perseteruan melibatkan dirinya dengan Fazura adalah disebabkan campur tangan orang luar.

Sehubungan itu, dia bersedia untuk bersemuka dengan wanita itu dan ibarat kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Saya nampak dia tidak ada cari pasal atau cakap apa-apa pasal saya.

“Kadang-kala orang luar yang tiada kaitan dengan hidup kami pula yang berlebih-lebihan.

“Jika kedua-dua belah pihak boleh lakukan perkara ini, saya rasa akan beri kesan baik kepada peminat masing-masing,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran air minuman Moma x Neelofa.

Neelofa juga berkata, dia sudah letih berhadapan dengan kemelut yang seakan-akan tiada kesudahan.

Selain itu juga katanya, dia mahu menjalani hidup seperti biasa.

“Kalau asyik diapi-apikan lagi, saya pun tidak larat untuk lalui.

“Saya pun dah letih nak menghadapi perkara sama kerana mahu teruskan hidup seperti biasa

“Dua-dua pun mahu teruskan hidup, buat bisnes dan sebagainya. ” ujarnya.

Sekadar info, kemelut kedua-dua selebriti popular itu tercetus ketika pembabitan awal Neelofa dalam industri.

Baru-baru ini, seorang individu dipercayai peminat tegar Neelofa didakwa menyindir Fazura dengan mendakwanya membuka tudung dan berhibur di sebuah pusat hiburan di Jakarta, Indonesia. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor