HomeBeritaPAS umum calon PRK Parlimen Kemaman pada Khamis

PAS umum calon PRK Parlimen Kemaman pada Khamis

CALON PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan diumumkan pada 16 November ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pemilihan calon itu dibuat dengan teliti melalui proses tertentu selaras dengan amalan parti tersebut selama ini.

Beliau berkata, PAS akan mengetengahkan calon dari kalangan pemimpin yang berpegang teguh pada perjuangan Islam dan mempunyai latar belakang yang baik.

“PAS menghormati semua calon yang ingin menawarkan diri dan meraikan proses demokrasi negara kita.

“PAS tidak mungkin mencalonkan personaliti yang tidak mempunyai track record politik yang mantap, tiada dokongan akar umbi dan tidak mempunyai latar belakang mesra rakyat yang baik.

“Ini sejajar dengan pendirian PAS yang amat menghormati aspirasi pengundi yang mahukan wakil rakyat yang baik. Calon PAS sudah tentu dari kalangan pemimpin yang berpegang teguh pada perjuangan Islam itu sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Untuk rekod, pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Che Alias Hamid yang mewakili PAS, menang dengan majoriti 27,179 undi apabila memperoleh keseluruhan 65,714 undi.

Beliau menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dari Barisan Nasional (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula mendapat 506 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).

Namun, pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi), berjaya membuktikan perbuatan rasuah sudah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini dan hari pengundian awal 28 November.

Author

Pilihan Editor