HomeGlobalPekerja seks terjun bangunan, polis serbu rumah urut

Pekerja seks terjun bangunan, polis serbu rumah urut

CUBAAN seorang pekerja seks melompat dari tingkat satu ke kaki lima untuk melarikan diri gagal susulan pihak polis mengepung sebuah flat yang beroperasi sebagai rumah urut di Hong Kong.

Lapor South China Morning Post, tindakan itu turut membabitkan dua wanita yang memanjat keluar tingkap rumah urut tersebut menerusi kanopi sebuah restoran di tingkat bawah apabila pegawai dari skuad tugas khas Timur menyerbu flat di North Point Mansion, Healthy Street East, North Point kira-kira pukul 2 petang, Isnin.

Malah, video cubaan ketiga-tiga wanita itu melarikan diri turut tersebar di media sosial, menunjukkan salah seorang daripada mereka melompat ke tanah dari penghawa dingin di luar blok rumah pangsa berkenaan.

Difahamkan, ketiga-tiga pekerja seks itu berasal dari tanah besar China dan mereka adalah antara tujuh wanita yang ditahan polis semasa serbuan dibuat.

Enam daripada mereka yang ditahan berusia 20 hingga 39 tahun, merupakan pelawat dari tanah besar dan ditahan kerana disyaki melanggar syarat penginapan mereka.

Manakala seorang lagi adalah penduduk Hong Kong berusia 31 tahun, ditahan kerana disyaki menguruskan sebuah pertubuhan maksiat.

Laporan sama turut menyatakan wanita berusia 36 tahun yang terjun dari tingkat satu itu tidak mengalami kecederaan dan tidak memerlukan sebarang rawatan di hospital.

Author

Pilihan Editor