HomeBeritaViralPelajar Tingkatan 4 parah dibuli, ibu bapa berang hukuman ke atas pembuli...

Pelajar Tingkatan 4 parah dibuli, ibu bapa berang hukuman ke atas pembuli tak setimpal

CYBERJAYA: Institut pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk menuntut ilmu, seolah-olah menjadi norma dan kebiasaan buat segelintir pelajar melakukan aktiviti buli.

Kes buli yang secara kebiasaannya dilakukan secara fizikal berkemungkinan besar akan menyebabkan tekanan mental kepada bukan sahaja mangsa, malah turut memberi trauma kepada ahli keluarga masing-masing.

Baru-baru ini, seorang wanita dikenali sebagai Amira kesal apabila adik lelakinya yang berusia 16 tahun menjadi salah seorang manga buli, di sebuah sekolah berasrama penuh dipercayai di Kuala Kangsar, Perak pada 24 September lalu.

Menerusi pendedahan di laman Instagram, Amira memuat naik foto adiknya yang sedang dirawat di hospital akibat mengalami kecederaan fizikal selepas dibuli rakan-rakannya.

Berdasarkan kapsyen pada foto tersebut, wanita itu berkata, pendedahan berkenaan dibuat selepas segala usaha dan keikhlasan pihaknya untuk menyelesaikan kes terbabit secara baik dan tertutup tidak berhasil.

“Lebih daripada mendapatkan keadilan, kami khuathir akan keselamatan adik kami.

“Hari ini cedera parah, apa pula selepas ini? Pada akhirnya, hanya #KitaJagakita #StandAgainstBullying,” tulisnya pada Jumaat.

Surat gesa hukuman setimpal

Dalam hantaran sama, Amira turut berkongsi keratan surat difahamkan ditujukan kepada pengetua sekolah terbabit.

Surat ditulis ibu bapa dan penjaga Tingkatan 4 itu bertujuan membuat rayuan terhadap hukuman disiplin kepada para pelaku, yang dianggap tidak adil dan tidak setimpal dengan perbuatan mereka.

Isi kandungan surat it juga antara lain mengandungi rayuan untuk mempertimbangkan semula keputusan hukuman yang bermula 18 Oktober lalu, yang bukan sahaja mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa, malah turut melibatkan hampir semua pelajar Tingkatan 4.

Selain itu, mesyuarat yang diadakan antara pihak sekolah dan keluarga mansga pada 20 Oktober lalu memaklumkan bahawa, hukuman yang dikenakan kepada pelaku adalah seperti Akujanji (bertulis) kepada pihak sekolah untuk berkelakukan baik, dirotan sebanyak dua hingga tiga kali secara tertutup serta membuat kerja-kerja amal di sekolah.

“Masih segar di ingatan para ibu bapa/penjaga kejadian buli yang berlaku kepada anak-anak kami tahun lepas semasa berada di Tingkatan 3 (dan juga dilakukan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5), tetapi dikenakan hukuman gantung sekolah selama dua minggu.

“Kecederaan yang dialami mangsa pada masa itu adalah tidak seserius cedera parah oleh mangsa dalam kes ini, namun dalam kes ini hukumannya jauh lebih ringan.

“Para ibu bapa/penjaga merasa bingung atas hukuman tidak munasabah yang dikenakan. Adakah kerana pelaku-pelaku dalam kes kali ini melibatkan anak-anak VIP (Very Important Person), Y*, P*, pemimpin pelajar dan sebagainya? Malah, jawatan-jawatan pelaku juga tidak dilucutkan,” tulis surat itu.

Atas dasar keprihatinan dan keselamatan para pelajar, surat itu juga membuat rayuan kepada pihak sekolah membuat pertimbangan semula atas beberapa perkara.

Ini termasuk membuat penilaian semula hukuman terhadap semua pelaku, memberi hukuman setimpal kepada para pelaku supaya menjadi iktibar kepada pelajar lain serta pelaku diambil tindakan buang sekolah dengan serta-merta.

“Hukuman selain buang sekolah mencerminkan seolah-olah tuan menghalalkan kejadian yang berlaku tanpa mengenakan hukuman yang setimpal,” tambah surat tersebut.

Malah, surat itu juga menggesa perjumpaan secara bersemuka dan secara atas talian antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar Tingkatan 4 dengan kadar segera.

Dalam pada itu, surat tersebut turut menyatakan kekesalan apabila surat bertarikh 27 September 2023 yang membuat permohonan perjumpaan dengan pihak sekolah masih tidak dijawab dan tidak diendahkan.

“Sila ambil maklum bahawa sekiranya kami tidak menerima sebarang maklum balas atau menerima maklum balas yang tidak memuaskan berhubung permohonan ini dalam tempoh 48 jam dari tarikh penerimaan surat ini, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya tanpa sebarang notis lanjutan.

“Ini termasuk dan tidak terhad kepada tindakan undang-undang dan memanjangkan perkara ini kepada Menteri Pendidikan (kerana pihak tuan gagal, enggan dan/atau cuai dalam usaha merealisasikan aspirasi Menteri dan KPM dalam menangani kes buli); Peguam Negara (kerana kes ini berkepentingan awam dan melibatkan institusi pendidikan yang tersohor); malah akan dipanjangkan juga kepada pihak media (agar masyarakat celik budaya buli ini wujud di sekolah prestij  tanpa sebarang tindakan proaktif dan reaktif oleh pihak sekolah,” ujar surat yang tidak mendedahkan tarikh ia ditulis.

MEDIA VARIASI sudah pun menghubungi Amira untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu, namun masih belum ada sebarang respons.

Author

Pilihan Editor