PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-8 di Riyadh, Arab Saudi, esok.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, persidangan tersebut akan membincangkan mengenai serangan, kekejaman dan ketidakberperikemanusian rejim Israel yang berterusan ke atas Palestin.
“Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Sidang Kemuncak Tergempar OIC ke-8 ini akan dihoskan oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta wakil-wakil negara anggota OIC,” katanya.
Melalui kenyataan tersebut, kementerian turut memaklumkan sidang kemuncak itu akan didahului dengan dua mesyuarat persediaan iaitu mesyuarat persediaan di peringkat menteri pada 10 November dan mesyuarat persediaan pegawai-pegawai kanan pada 9 November lalu.
“Sidang Kemuncak ini merupakan keberhasilan daripada kerjasama utuh Perdana Menteri bersama beberapa pemimpin OIC,” katanya.
Tambahnya, semasa sidang kemuncak tersebut juga, Perdana Menteri akan menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.
“Perdana Menteri akan menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza di mana krisis kemanusiaan masih berlarutan serta keperluan utama bagi negara-negara anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin.
“Sidang kemuncak ini dijangka akan menerima pakai satu Dokumen Hasil (Final Communique),” katanya. – Utusan