CYBERJAYA: Pengganti Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub akan ditentukan melalui Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2023-2026 pada Disember ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima senarai calon memandangkan mesyuarat agung parti juga baru bermula.
Katanya, pihaknya tidak boleh membuat sebarang jangkaan mahupun spekulasi mengenai bakal calon yang akan menggantikan jawatan Allahyarham Salahuddin, namun mengharapkan individu terbaik menjadi pilihan.
“Sistem pemilihan jawatan dalam Amanah agak berlainan dengan parti yang lain kerana tidak bertanding untuk satu jawatan, tetapi bertanding untuk pemilihan 27 calon di peringkat nasional.
“Kemudian, kesemua calon berkenaan akan terbabit dengan mesyuarat bagi menentukan siapa yang paling layak memegang sebarang jawatan seperti presiden, timbalan mahupun setiausaha.
“Apabila senarai sudah diperolehi barulah kita boleh membuat jangkaan namun kesemuanya juga bergantung kepada keputusan pemilihan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, meninggal dunia pada 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, selepas mengalami pendarahan otak.
Mahfuz berkata, beliau mengharapkan pemilihan parti pada Disember akan berlangsung dalam suasana kekeluargaan, yang mana pihak kalah tidak disisihkan bersama pihak yang menang untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, tambahan pula, Amanah sendiri menyasarkan kemenangan lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) agar parti lebih kukuh dalam kepimpinan negara.