SAN FRANCISCO: Penggunaan beberapa slogan yang dikaitkan dengan perang Israel ke atas Gaza, termasuk ‘dekolonisasi’ (penyahjajahan) dan ‘From The River To The Sea’ di platform media sosial X (Twitter) boleh menyebabkan penggantungan akaun serta-merta.
Pemilik X, Elon Musk, mendakwa penggunaan kedua-dua slogan adalah bersamaan ‘menyokong pembunuhan beramai-ramai’ dan memerlukan penggantungan daripada platform.
“Seperti yang saya katakan awal minggu ini, ‘dekolonisasi’ dan ‘from the river to the sea’ adalah umpama membayangkan pembunuhan beramai-ramai.
“Seruan jelas untuk keganasan melampau adalah bertentangan dengan syarat perkhidmatan kami dan akan mengakibatkan penggantungan,” katanya.
Pihak pro-Palestin mengkritik kenyataan Musk kerana didakwa menggabungkan ungkapan politik yang sah dengan seruan untuk keganasan serta menuduhnya cuba menghadkan kebebasan bersuara.
Penggunaan dua frasa itu digunakan secara ketara sejak Israel mula mengebom Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu dalam serangan yang setakat ini sudah mengorbankan 13,000 orang dalam tempoh hanya enam minggu.
Serangan itu adalah tindak balas Israel selepas serangan mengejut dilakukan pejuang Hamas yang mengorbankan 1,200 orang, meningkatkan kesedaran sekitar dekad penindasan yang dihadapi rakyat Palestin di tangan Israel.
Slogan ‘From The River To The Sea’ sering dilaungkan oleh orang ramai sebagai tanda bersolidariti bersama Palestin.
Penggunaan slogan ini dicipta oleh penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal mereka pada 1964 di bawah kepemimpinan Yasser Arafat.
Mereka menyeru penubuhan sebuah negara tunggal dari Sungai Jordan ke Lautan Laut Mediterranean untuk mendapatkan semula wilayah bersejarah mereka.
Namun begitu, slogan pembebasan dari Sungai Jordan ke Lautan Laut Mediterranean mendapat kritikan barat dan penyokong Israel yang melabelnya sebagai orang yang menyokong Hamas dan ucapan yang berunsur ganas dan anti-Semitik. – Berita Harian memetik Agensi