GOPENG: Seorang penternak lembu di Kampung Jahang di sini mendakwa kerugian RM15,000 apabila enam ekor ternakannya mati dipercayai dibaham harimau belang.
Muhamad Noor Sarip, 82, berkata, dia percaya haiwan ternakannya itu mati diserang harimau berdasarkan kesan cakar pada bangkai lembu selain penemuan tapak kaki harimau berdekatan kandang lembu.
Menurutnya, ternakannya ditemukan mati sejak dua bulan lalu apabila empat ekor lembu hilang.
“Minggu ini dua ekor lagi lembu saya hilang dan selepas dicari, saya hanya terjumpa bangkainya dengan kesan gigitan pada leher dan cakar pada badan.
“Berdasarkan keadaan bangkai lembu yang dijumpai itu, saya percaya haiwan ternakan saya diserang harimau apatah lagi terdapat kesan tapak kaki harimau berdekatan kandang lembu.
“Perhilitan juga mengesahkan di kawasan ini memang terdapat laporan mengenai kemunculan harimau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, keadaan itu membimbangkannya mungkin lebih banyak ternakannya mati jika haiwan liar itu tidak segera diperangkap.
Katanya, dia juga bimbangkan keselamatan dirinya dan penduduk sekitar kawasan kampung itu berikutan memunculkan haiwan liar itu.
“Sudah tentu penduduk bimbang selepas kemunculan haiwan itu dan saya berharap haiwan itu dapat ditangkap,” katanya.
Kelmarin, Perhilitan Perak mengesahkan selain Kuala Mu di Sungai Siput, harimau belang turut didakwa berkeliaran di Kampung Sahom, Kampar.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan ada menerima aduan berkaitan kehadiran haiwan liar itu di Sahom.
Menurut beliau, harimau belang itu kemungkinan tersesat ekoran habitat asalnya terletak berhampiran di Hutan Simpan Salu.
Katanya, Sahom dekat dengan Hutan Simpan Salu, mungkin harimau tersebut terlajak mencari makan kerana babi hutan di kawasan itu berkurangan ekoran wabak demam babi Afrika (ASF).
Katanya, Perhilitan sudah pasang perangkap bagi menangkap harimau belang itu. – Utusan