COLOMBIA akan mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas tuduhan jenayah perang, berhubung pertumpahan darah berterusan dilakukan rejim pengganas Israel di Genting Gaza.
Presiden Colombia, Gustavo Pedro menerusi hantaran di laman X pada Khamis berkata, Menteri Luarnya, Alvaro Levya akan melakukan pertemuan dengan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membuat dakwaan secara rasmi terhadap Netanyahu.
“Ini berikutan pembunuhan beramai-beramai ke atas kanak-kanak dan orang awam Palestin yang telah dilakukannya,” umumnya seperti dilapor Press TV.
Pengumuman itu dibuat bagi menyokong kenyataan rakan sejawatannya dari Algeria, Presiden Abdelmadjid Tebboune, yang pada awal minggu ini menggesa pendakwaan serupa terhadap Netanyahu dan rejimnya.
Sebelum ini, Colombia memanggil semula dutanya di Tel Aviv selepas pembunuhan beramai-ramai secara berterusan ke atas rakyat Palestin.
Pendakwa raya ICC, Karim Khan memaklumkan bahawa, pejabatnya sedang mengumpul bukti bagi menyiasat pemimpin politik dan ketenteraan Israel yang melakukan serangan berterusan di semua kawasan di Gaza, termasuk hospital, sekolah dan bangunan kediaman.
Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) yang bukan ahli ICC enggan memberi kerjasama dengan mahkamah pada 2021, berhubung siasatan jenayah perang di wilayah Palestin yang diduduki.
Sejak serangan rejim pengganas Israel di Gaza pada 7 Oktober lalu, kira-kira 11,078 orang, termasuk 4,506 kanak-kanak telah terbunuh manakala 27,490 yang lain mengalami kecederaan.