HomeBeritaPeruntukan kepada MP isytihar sokong Anwar tetap rasuah - Dr M

Peruntukan kepada MP isytihar sokong Anwar tetap rasuah – Dr M

CYBERJAYA: Pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap disifatkan sebagai rasuah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, hal ini kerana segala pemberian itu tidak diberikan kepada wakil rakyat yang tidak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Menurut Dr Mahathir, Perdana Menteri sebelum ini mendakwa bahawa, sokongan oleh wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bukan kerana disogok.

Namun, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, wakil rakyat Bersatu yang beralih sokongan mengakui telah diberikan peruntukan.

“Wakil rakyat Bersatu yang beralih sokong PM (Perdana Menteri) ke-10 mengaku mereka diberi peruntukan untuk kawasan mereka yang biasanya diberi kepada wakil rakyat kerajaan sahaja.

“Ada pemberian lain juga diakui oleh wakil rakyat Bersatu.

“Segala pemberian ini tetap rasuah kerana yang tidak sokong Perdana Menteri tidak dapat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tangkap layar hantaran Dr Mahathir di laman Facebook.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengakui telah pun menerima peruntukan pembangunan setelah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.

Dua lagi ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Terbaharu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal secara terbuka mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Beliau menyatakan demikian ketika bertanyakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Author

Pilihan Editor