HomeBeritaPihak taska wajib hubungi ibu bapa jika anak tidak hadir - Nancy

Pihak taska wajib hubungi ibu bapa jika anak tidak hadir – Nancy

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ke atas Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dengan mewajibkan operator menghubungi ibu bapa sekiranya anak-anak tidak hadir ke pusat jagaan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelaksanaan itu dibuat bagi membantu ibu bapa lebih peka terhadap keberadaan anak-anak mereka.

Katanya, ia sekali gus dapat mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas kanak-kanak berkenaan, misalnya seperti kes kematian akibat tertinggal di dalam kereta.

“Walaupun ini tidak secara langsung berkait dengan kematian kanak-kanak di dalam kereta, sekurang-kurangnya ia dapat mengingatkan ibu bapa sama ada anak mereka masih di dalam kereta atau tidak.

“Oleh itu, operator perlu menghubungi ibu bapa kanak-kanak tersebut dan ia menjadi salah satu standard operasi (SOP) mereka agar kes kematian dalam kereta dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya memetik Kosmo.

Beliau berkata demikian pada Malam Bersama Media Sarawak di Kuching, Sarawak, malam Ahad.

Tambah beliau, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska diingatkan supaya meninggalkan nombor telefon mereka atau ahli keluarga terdekat supaya sentiasa dapat dihubungi.

“Kita perlu memastikan sebab anak-anak mereka tidak hadir ke pusat jagaan.

“Sekurang-kurangnya jika terlupa, kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta tidak ditinggalkan terlalu lama sehingga tujuh atau lapan jam, yang akhirnya boleh menjurus kepada kes kematian,” ujarnya.

Pada masa sama, Nancy menyatakan bahawa kementeriannya juga akan lebih tegas terhadap pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas anak-anak di taska.

Author

Pilihan Editor