HomeBeritaPolis rakam keterangan Siti Mastura Isnin ini

Polis rakam keterangan Siti Mastura Isnin ini

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, minggu depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan, proses rakam keterangan ke atas Siti Mastura dijadual akan diadakan pada Isnin ini.

“Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis berhubung isu ini dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

“Keterangan Dr Siti Mastura akan diambil pada 13 November 2023 (Isnin),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Siti Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau turut mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, kelmarin tampil membuat satu laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini, berhubung perkara itu.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau melalui peguamnya sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas tempoh 48 jam yang diberikan kepada Siti Mastura membuktikan dakwaannya itu tamat pada Khamis.

Author

Pilihan Editor