PELAKON, Nabila Huda menepis dakwaan bersikap dingin terhadap aktres, Sophia Albarakbah susulan tegurannya mengenai isu cinta lokasi baru-baru ini.
Menurut Nabila Huda Suhaimi, 39, atau lebih mesra dipanggil Abil, teguran yang dilakukan itu adalah berbentuk profesional dan tidak ditujukan kepada individu tertentu.
“Saya tak ada apa-apa isu pun dengan Sophia cuma pada ketika itu, isu semasa berkenaan sedang hangat diperkatakan.
“Saya hanya komen tentang isu semasa yang saya tak suka. Sebagai pelakon senior, saya memberikan teguran kerana tidak mahu orang memberikan pandangan buruk tentang industri kita.
“Kasihanilah pada mereka yang berusaha keras daripada muda dan jujur nak menjadi pelakon. Kalau terjadinya perkara sebegini, senang-senang sahaja orang nak burukkan kita.
“Tidak bermaksud apa-apa dan saya juga tidak mempunyai perasaan buruk tentang sesiapa pun sebab saya tak mahu bermusuh,” katanya seperti dilapor portal Gempak.
Sebagai pelakon senior, Abil tidak mahu isu demikian menganggu kerjaya lakonan masing-masing.
“Rasanya ramai yang tahu cara saya agak lantang dalam memberikan pendapat tapi saya tak pernah rasa nak bermusuhan dengan sesiapa dan apa masalah peribadi orang saya tidak masuk campur.
“Jadi saya harap teguran yang saya katakan itu dapat diterima dengan hati terbuka. Ini bukan isu personal, teguran itu adalah secara umum sahaja sebenarnya.
“Saya hanyalah seorang pelakon senior yang tidak mahu benda-benda begini menghancurkan kerjaya masing-masing.
“Kalau rasa nak jujur sebagai seorang pelakon, maka jujurlah. Tapi kalau memilih untuk ke jalan yang itu (orang ketiga), terpulanglah. Itu bukan urusan saya,” jelasnya.
Terdahulu, pelakon filem Munafik sebelum ini menjadi perhatian netizen selepas memberi teguran mengenai isu pelakon wanita yang jatuh cinta dengan suami orang di lokasi penggambaran.
Bagaimanapun, warga net mengaitkan teguran yang dilakukan Nabila itu mempunyai kaitan dengan isu Sophia, ALiff Aziz dan juga Bella Astillah.