HomeBeritaViral'Saya hanya nampak satu lembaga tinggi dan...' - Muhd Danial Hakim

‘Saya hanya nampak satu lembaga tinggi dan…’ – Muhd Danial Hakim

CYBERJAYA:”Sepanjang di dalam kereta, ‘dunia’ saya gelap. Saya hanya nampak satu lembaga tinggi dan berbadan tegap memerhati saya dari luar.

“Saya sangat takut dan hampir hilang harapan untuk kembali ke ‘alam nyata’ namun suara azan mengembalikan semangat saya,” kata Muhd Danial Hakim Mohd Saiful, 24, yang dilaporkan hilang selama dua hari sebelum ditemui semula kelmarin.

Penyunting video itu tidak pulang ke rumah di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, selepas keluar dari tempat kerja di Petaling Jaya, pada Rabu lalu.

Berkongsi kisahnya, Muhd Danial berkata, dia menaiki tren dari Petaling Jaya ke Stesen MRT Sungai Buloh sebelum memandu kereta untuk pulang ke rumah kira-kira jam 8 malam.

“Ketika itu, saya berasa sangat pening lalu berhenti di tepi jalan dan tidur seketika. Apabila terjaga, saya teringat isteri sedang menunggu di rumah untuk keluar makan dan saya segera memandu pulang.

“Malangnya, saya tidak jumpa jalan pulang dan hanya melalui kawasan sama. Secara tiba-tiba pandangan saya semakin kabur dan keadaan luar bertukar gelap menyebabkan saya sudah tidak nampak apa-apa lagi.

“Saya matikan enjin kereta dan keluar tapi disebabkan keadaan gelap, saya takut lalu masuk semula ke dalam kereta. Selepas itu, saya cuba keluar semula tapi pintu kereta sudah tidak boleh dibuka lagi,” kongsinya seperti dilapor Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhd Danial berkata, sepanjang dua hari dia hanya ‘ditemani’ bunyi loceng dan satu lembaga yang sentiasa memerhatikannya dari luar kereta, malah usahanya menghidupkan enjin kereta untuk mencari jalan pulang juga tidak berhasil.

“Saya boleh dengar bunyi kenderaan dan suara orang di luar tapi saya tidak nampak apa-apa. Saya juga nampak cahaya lampu seperti kereta peronda polis dan cuba jerit meminta tolong tapi tidak berhasil.

“Saya hampir putus harapan dan fikir sudah mati, sehinggalah saya terdengar azan dan nampak cahaya pada satu lorong. Saya hidupkan enjin kereta dan melalui lorong itu yang akhirnya berjaya pulang ke rumah,” ceritanya.

Katanya, dia berhenti di parkir rumah lalu menghubungi isteri Puteri Nik Badzlin Amir, 25, sebelum mereka ke balai polis membuat laporan.

Muhd Danial mendakwa masih trauma dengan kejadian itu namun bersyukur masih diberi peluang oleh Allah untuk bertemu isteri serta keluarga tercinta.

“Mungkin ada yang tidak percaya dan menganggap saya gila, tapi itulah yang saya lalui. Walaupun saya hilang dua hari tapi saya hanya rasa seperti hilang antara lapan hingga 10 jam,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor