BINTANG tenis Tunisia, Ons Jabeur akan mendermakan sebahagian daripada wang hadiah hasil kemenangannya pada final tenis perseorangan wanita WTA kepada rakyat Palestin di Gaza.
Dengan nada sebak, dia mengumumkan perkara itu selepas menewaskan pemain Republik Czech, Marketa Vondrousova di Cancun, Mexico pada Rabu.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan itu, namun saya tidak gembira sejak kebelakangan ini.
“Situasi di dunia tidak menggembirakan saya,” katanya sebelum ucapannya terhenti seketika dan menangis.
Bintang tenis Tunisia, Ons Jabeur akan mendermakan sebahagian wang kemenangannya pada final WTA kepada rakyat Palestin di Gaza. Dia menahan sebak & mengakui tidak boleh tidur lena selepas ramai rakyat Palestin menjadi korban sejak 7 Oktober lalu.
Sumber: The Tennis Letter pic.twitter.com/JXdI5didtO
— Media Variasi (@mediavariasi_) November 3, 2023
Penonton yang hadir dilihat bertepuk tangan sambil menenangkan dirinya untuk meneruskan ucapan berkaitan situasi kritikal di Gaza.
“Sangat sukar melihat kanak-kanak, bayi maut setiap hari.
“Ia menyayat hati, jadi saya memutuskan untuk menderma sebahagian daripada wang hadiah saya untuk membantu rakyat Palestin,” katanya.
‘Saya mahukan keamanan di dunia ini’
Lapor Al-Jazeera, wanita berusia 29 tahun itu sebelum ini sering membangkitkan isu sosial terutamanya di kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara.
“Saya tidak boleh gembira dengan hanya memperoleh kemenangan ini, tambahan pula dengan situasi berlaku ketika ini. Saya minta maaf, ia (ucapan) sepatutnya mengenai tenis, tetap saya kecewa melihat video (berkaitan Gaza) setiap hari.
“Saya minta maaf, ini bukan mesej politik tapi hanya kemanusiaan. Saya mahukan keamanan di dunia ini dan itu sahaja,” katanya.
Tambahnya, dia turut mengalami kesukaran untuk tidur lena selepas menonton gambar dan video mengerikan berhubung serangan di Gaza.
“Saya seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada media sosial tapi ia sangat sukar.
“Kita melihat gambar dan video mengerikan setiap hari menyebabkan saya tidak boleh tidur dengan baik.
“Perkara paling teruk ialah saya berasa putus asa dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.
Pemain yang kini berada di ranking ketujuh dunia itu mengulangi bahawa dia terkesan selepas melihat bayi, wanita dan orang ramai menjadi korban setiap hari.
“Saya berharap akan keamanan di dunia ini dan saya harap kita boleh memulihkan kemanusiaan,” tambahnya.
Lebih 9,000 termasuk 3,648 kanak-kanak dan 2,290 wanita terkorban di Gaza akibat serangan berterusan rejim pengganas Israel sejak 7 Oktober lalu.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.