HomeBeritaSirul Azhar mohon maaf kepada keluarga Altantuya, rayu dibenar tinggal di Australia

Sirul Azhar mohon maaf kepada keluarga Altantuya, rayu dibenar tinggal di Australia

 

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang berhadapan dengan hukuman mati di atas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu merayu untuk meneruskan kehidupannya di Australia.

Dalam temu bual eksklusif dengan Al Jazeera English’s 101 East yang disiarkan pada Jumaat, Sirul mendakwa, adalah berbahaya baginya untuk kembali ke Malaysia.

Sirul Azhar juga dalam masa sama memohon maaf kepada keluarga mendiang Altantuya dan meminta pengampunan mereka.

Dia mendakwa tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu walaupun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia.

Dakwa Sirul Azhar, dia telah dijadikan kambing hitam dan terperangkap dalam permainan politik selain mengaku menerima RM1 juta semasa berada di Australia daripada sumber yang tidak dinamakan untuk “menutup mulutnya.”

Selain itu, Sirul Azhar turut membuat beberapa dakwaan serius yang belum disahkan terhadap beberapa personaliti terkemuka.

“Saya merayu kepada masyarakat di sini (Australia) untuk menerima saya.

“Saya berjanji kepada anak saya bahawa saya tidak akan pernah melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) ikut semuanya. Saya sedar bahawa adalah benar-benar tidak selamat untuk saya kembali ke sana (Malaysia). Apa pun yang berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya di Australia. Saya harap masyarakat Australia menerima saya (untuk) siapa saya. Saya bukan orang yang jahat.

“Saya sayangkan Australia, dari hati saya, dari jiwa saya. Beri saya peluang kedua. Satu perkara lagi. Saya akan memohon maaf kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya. Itu sahaja,” katanya dalam wawancara pertamanya sejak dibebaskan dua minggu lalu dari pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney.

Sirul Azhar merupakan antara puluhan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had adalah menyalahi undang-undang.

Perkara itu sekali gus membatalkan keputusan 2004 bahawa bukan warganegara tanpa visa boleh ditahan selama-lamanya dengan syarat kerajaan berhasrat untuk mengeluarkan mereka secepat mungkin.

Sirul Azhar berkata, sehari selepas dibebaskan, seorang pegawai polis Malaysia menemuinya bagi memaklumkan bahawa Menteri Hal Ehwal luar Australia telah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk bertanyakan sama ada dia selamat di Canberra.

“Mereka memberitahu bahawa saya selamat. Tetapi saya benar-benar kecewa, lihat berita, semuanya buruk tentang saya. Jadi, masyarakat di sini benar-benar takut dengan saya. (Mereka fikir) Sirul berbahaya,” katanya lagi.

Australia tidak akan menghantar pulang Sirul ke Malaysia kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan semua mereka yang berhadapan hukuman mati dihantar pulang ke negara asal mereka.

Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.

Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri, disabitkan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya.

Azilah kini dijatuhkan hukuman mati di Penjara Kajang.

Mereka berjaya membatalkan sabitan di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 memulihkan sabitan dan menjatuhkan hukuman mati.

Sirul Azhar melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir.

Dia telah ditahan di pusat tahanan itu sejak 2015 selepas ditahan polis Australia.

Permohonan pertamanya untuk suaka politik di Australia telah ditolak pada 2019.

Menerusi temu bual eksklusif dalam program 101 East, wartawan kanannya, Mary Ann Jolley telah mengikuti rapat kes tersebut dan menerbitkan beberapa siri eksklusif.

Beliau memenangi anugerah dalam laporan siasatan pada tahun 2015 menerusi episod “Murder In Malaysia” dan pada tahun 2019 menerusi episod “Malaysia: Power and Corruption” di mana kedua-dua episod itu telah meraih jutaan tontonan di peringkat global.

Temu bual eksklusif terbaharu itu disiarkan di Al Jazeera English jam 7.30 pagi tadi waktu Malaysia dan akan disiar ulang pada 5.30 petang ini, 12.30 tengah hari esok (Sabtu) dan 8.30 malam pada Ahad. – Awani

Author

Pilihan Editor