PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum memanggil mana-mana saksi berhubung siasatan terhadap badan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin yang mengutip derma untuk rakyat Palestin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini siasatan masih berjalan dan pegawai forensiknya sedang meneliti dokumen membabitkan kewangan NGO berkenaan.
“Siasatan masih berjalan dan kita masih belum memanggil mana-mana saksi kerana buat masa ini, pegawai forensik SPRM sedang meneliti dokumen (kewangan) dari 2020 hingga 2022.
“Bagi kutipan (derma) terbaru, kami belum boleh menyiasat kerana siasatan sedia ada masih berjalan dan sebab itu kami tidak boleh melakukan siasatan forensik untuk kutipan terbaru,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, kutipan Tabung Aman Palestin di setiap premis agama Islam di Perlis sudah pun dihentikan berkuatkuasa 12 Oktober lalu sehingga siasatan terhadap NGO itu selesai.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Ustaz Najmuddin Abdul Karim berkata, kebenaran sudah ditarik semula buat sementara waktu bagi menunggu siasatan terhadap kutipan berkenaan selesai.
Sebelum ini, laman Facebook rasmi ProMedia Tajdid pada 11 Oktober lalu memuatnaik surat bertarikh 24 Ogos tahun ini yang dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri itu, yang meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) supaya tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam negeri itu.
Pada 9 Oktober lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam hantarannya di aplikasi X meminta orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ atau sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan mengumpul dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.